Monday, January 14, 2008

Kota Lanun (Pirate City)

bro and sis...

please click link -->>((CLICK))<<-- for further info. Or --->>[[CLICK]]<--

TQ

3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 7


ole ole yang tok bawa balik, walaupun faktanya hampir keseluruhan tidak tepat, tapi akhirnya ada juga cerita tok di dalam suratkhabar seperti artis artis lain. antara fakta yang tidak tepat dilaporkan.
1. tok bukan dari Perak
2. tok sudah berhubung dengan penyelamat awal petang hari kedua lagi.
3. tok tak hilang lebih dari 24jam
tapi tok puji wartawan ini kerana, walaupun tanpa fakta yang tepat, beliau berjaya mengeluarkan cerita tentang tok. glamer tok sekejap, walaupun tok bukan gila glamer.

3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 6


Hari Ketiga. Keesokkan pagi nya apabila terjaga dari tidur, terbaca sms dari Pak Tam,

“Ranger sudah keluar dari Gunung pada jam 5.30pg”

Oleh kerana tiada harapan untuk Ranger bertemu kami, maka kami bercadang untuk meneruskan perjalanan ikut arah yang kami lalui semalam ketika sebelum berpatah balik. Setelah berkemas serba sedikit kami pun mula bergerak kearah yang dipersetujui. Ketika ini bekalan memang terlalu sedikit dan kami bercadang hanya menggunakannya untuk membasahkan tekak sahaja di dalam perjalanan nanti. Sebelum bertolak kami sms Pak Tam untuk memberitahu percubaan kami mencari puncak Ophir sehingga Berjaya. Dan jikalau ada Ranger yang masih mahu mencari kami, cari sahaja kami di puncak Ophir.

Lebih kurang 1 (satu) jam perjalanan meredah duri duri rotan dan pokok pokok renek yang sendat menghalang jalan, akhirnya kami jumpa juga trek ke Gunung Ophir. Kami memanjatkan syukur berpanjangan ke Hadrat Allat S.W.T yang Maha Pelindung dan Maha Memberi Petunjuk kerana memudahkan perjalanan kami pagi itu. Kami juga memberitahu Pak Tam keadaan di mana kami sudah menjumpai trek ke puncak Ophir. Walaupun trek ke puncak Ophir sudah dijumpai, tetapi masih sukar, kerana bekalan air sudah habis dan kebanyakannya ada lah pendakian tajam dengan menggunakan tali. Akhirnya setelah berpenat lelah dan berjalan dan mendaki tanpa air sepanjang 4 (empat) jam, akhirnya kami sampai juga di puncak Gunung Ophir. Sekali lagi kami memberitahu kedudukan kami kepada Pak Tam. Pak Tam memberitahu bahawa pasukan Ranger di dalam perjalanan dan suruh tunggu sahaja di puncak Ophir. Kami membalas bahawa kami mahu tunggu pasukan Ranger di Menara Komunikasi dan mungkin akan dapat sedikit air dari pekerja di Menara Komunikasi.


Lebih kurang 5 minit sampai di Menara Komunikasi, pasukan Ranger dengan truck pick-up mereka pun sampai. Sambil minum bekalan air yang diberi oleh pasukan Ranger, kami pun berkenal kenalan sambil bertukar tukar cerita. Ketika itu lebih kurang jam 11.30 pagi. Kami di khabarkan bahawa jikalau kami tidak dijumpai sehingga jam 6.00 petang, mereka akan membuat buat Search And Recue secara besar besaran dengan di sertai oleh pelbagai Jabatan Kerajaan yang terbabit, termasuk BOMBA dan Penyelamat dan berbagai lagi. Kami di bawa turun terus ke balai polis untuk di ambil laporan dan memang Pak Tam pun menunggu di sana.


Setelah selesai urusan dibalai polis, kami pun dibenarkan pulang dan Pak Tam membawa kami ke tapak permulaan pendakian kami untuk mengambil kereta dan mandi buat seketika. Ketika sampai di tapak pendakian, aku melihat ramai pemberita berada di sana. Rupanya mereka sedang menunggu sekumpulan pendaki yang sesat di Gunung Ophir yang di khabarkan akan turun pada hari tersebut. Kami teruskan hal kami dengan bermandi manda di air terjun, setelah 3 hari tidak mandi. Dan kami pulang teruskan ke Kuala Lumpur tanpa singgah di mana mana. Sekian sahaja, tiada climax sebenarnya. He he he he….

Tamat…


3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 5

Hari Kedua. Sambungan 2. Kumpulan Ranger menasihatkan kami supaya menaikan unggun api dan tidak bergerak kemana mana. Oleh kerana sudah hampir 2 hari menggunakan pakaian yang sama, jadi tok pun menukarkan kepada pakaian kepada 3 lapis baju dan sehelai seluar yang kering agar lebih selesa. Selepas itu tok pun cuba menaikkan unggun api untuk menurut arahan pihak Ranger, tetapi tidak sempat api marak, hujan rintik rintik pun mula turun. Tok dan Tok Pertapa bercadang untuk mendirikan khemah. Tidak ada tempat yang sesuai kecuali betul betul di lereng bukit, maknanya khemah tersebut senget, jikalau tidak di letak betul, kami boleh berguling jatuh ke bawah ketika berada di dalam khemah. Selesai sahaja mendirikan khemah dan hari sudah mula gelap, hujan turun dengan lebat selebatnya. Maka kami pun berlindung di dalam khemah. Tetapi malangnya khemah tersebut adalah serap air, sehinggakan titik hujan yang jatuh ke atas khemah akan memercik ke dalamnya. Dan khemah kami mula banjir di dalamnya. Kami terpaksa menebuk tapak khemah untuk mengeluarkan air dan lebih malang lagi, baju kering yang baru shj tok tukar sudah lenjun selenjun lenjunnya. Kami terus berada di dalam khemah kerana di luar adalah lebih basah dan lebih sejuk.


Tok dihubungi oleh Pak Tam bahawa Ranger mula masuk ke Gunung Ophir pada jam 10 malam, apabila hujan mula berhenti. Tok cuba lelapkan mata, tetapi tidak boleh kerana terlalu sejuk akibat kebasahan dan jugak angin bukit yang kuat dimana bunyinya adalah seperti ombak datang dan pergi. Sahabat ghaib tok menasihatkan supaya menukar kepada pakaian hitam yang kering. Kebetulan kami berdua memang membawa pakaian tersebut termasuk dengan serban bewarna hitam. Setelah menukar pakaian dan hujan sudah betul betul berhenti barulah kurang rasa sejuk dan tok pun menaikan unggun api sekali. Ketika ini kumpulan Ranger kerap kali menelepon kami untuk mengetahui kedudukan tetapi tetap tidak berjumpa. Angin yang seperti ombak tidak pun ada tanda untuk berhenti maka kami berdua bercadang untuk berehat di dalam khemah sahaja sambil menunggu pasukan Ranger. Lapik khemah yang basah tok lapkan agar selesa untuk duduk. Sesekali tok keluar daripada khemah untuk melihat unggun api dan melihat lihat atau mendengar dengar jikalau kumpulan Ranger ada berdekatan. Setelah terlalu penat menunggu dan tiada tanda tanda bahawa kumpulan Ranger akan sampai, akhirnya tok cuba melelapkan mata pada jam 2.30 pagi.


bersambung...

3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 4


Hari Kedua. Sambungan 1. Setelah menempuh segala dugaan dan menghabis segala bekalan air yang ada, akhirnya kami sampai juga kepuncak yang di katakan sebagai puncak Gunung Ophir. Tetapi apa yang di dapati adalah lain sekali, dah pastinya ianya bukan lah puncak Gunung Ophir bahkan hanya puncak bukit disebelah Gunung Ophir. Ini hanya dapat kami ketahui setelah melihat keadaan sekeliling bukit, juga ternampak Menara Komunikasi berada di sebelah gunung tinggi yang diliputi awan tebal. Semestinya gunung tinggi itulah puncak Gunung Ophir. Tok Pak Pertapa sudah patah semangat, jadi tok pun menenangkan Pak Pertapa walaupun tok pun sudah keletihan dan tiada daya lagi. Yang pastinya salah seorang tidak perlu panik kerana takut memudaratkan keadaan ditambah dengan masalah kami yang keputusan bekalan air. Apa yang tok dapati, petunjuk yang diberi oleh sahabat ghaib tok adalah benar kiranya tok berjalan lurus. Tapi jikalau berjalan lurus, ia akan bertambah masalah kerana tok perlu kembali menuruni bukit dan kembali memanjat Gunung Ophir dari arah yang tidak pernah di lalui orang dan ini mungkin akan mengambil masa sehari lagi di hutan.

Setelah berbincang serba sedikit, dan hari pun masih petang (lebih kurang jam 5.30 petang), kami pun bercadang untuk meneruskan perjalanan dengan melalui tulang bukit. Dengan harapan akan ada jalan singkat terus ke puncak gunung. Dalam perjalanan itu kami dapat mendengar bunyi mata air seakan air terjun kecil, yang kami namakan sebagai Lurah Dendam. Oleh kerana tidak mahu turun kebawah lagi, jadi kami pun teruskan perjalanan tanpa mengambil bekalan air. Setelah 100 meter berjalan, tenaga kami bertambah kurang, bekalan air pula tiada, perjalanan pula bertambah sukar kerana hutan renek yang rapat rapat (beg galas sentiasa tersangkut sangkut), ditambah pula dengan banyaknya duri duri rotan yang melintang jalan. Jadi kami berpakat untuk berpatah balik dan turun kebawah sedikit untuk mengambil air. Kami juga telah bercadang untuk tidak meneruskan perjalanan (tidak mahu mengambil risiko sesat) dan untuk kembali sahaja ke kaki bukit dengan mengikut lurah air tersebut. Sudah pastinya kami tidak akan sesat kerana lurah air itu akan melalui kaki bukit di permulaan perjalanan semalam. Paling paling esok pagi kami pasti sampai ke kaki bukit tersebut dan pulang ke KL seperti yang di janjikan.

Rupanya turun kebawah untuk mengambil air adalah lebih memeritkan, kerana perjalanan terlalu curam dan licin. Kami mengambil keputusan menggelongsor turun sahaja. Dalam keadaan tidak sengaja kadang kadang kami berpaut sahaja pada batang batang pokok berduri untuk mengelakkan jatuh ke gaung. Setelah bersusah payah akhirnya kami sampai juga ke mata air tersebut. Setelah minum, membasuh muka dan mengisi 1 botol air kecil, kami pun teruskan perjalanan ke bawah. Walau pun tok ada mempunyai beg air di dalam beg galas yang boleh mengisi 3 liter air, tetapi tok tidak bercadang memenuhkan beg air tersebut. Ini adalah kerana, tok tidak mahu memberatkan beg tok dan jikalau mahu berjalan mengikut anak mata air tersebut sudah pastinya kami akan sentiasa mempunyai bekalan air.

Apa yang berlaku tidak seperti yang kami harapkan, lebih kurang setengah perjalanan turun dengan meniti batu batu, melompat pokok pokok tumbang, akhirnya kami sampai ke jurang yang terlalu dalam dan mustahil untuk turun ke bawah. Kami tidak boleh kemana mana dan jalan keluar yang ada hanyalah berpatah balik. Setelah berpatah balik mengharungi batu batu, pokok pokok tumbang, pokok pokok renek yang rapat, pokok pokok berduri, ntah bagaimana kami sampai kembali ke puncak bukit. Tok Pertapa kembali panik, apatah lagi dengan bekalan air sebotol yang diisi sudah tinggal suku botol akibat memanjat bukit kembali. Tok Pertapa mula menghubungi rakan rakan untuk memberitahu keadaan dan lokasi kami setelah cuba menghubungi Pak Tam gagal (mungkin bateri hp Pak Tam sudah habis). Ketika itu waktu menunjukkan jam 6.30 petang. Akhirnya kami dapat sms dari Pak Tam bahawa beliau sudah berjaya turun.

Kami bercadang untuk bermalam di puncak bukit dan meneruskan perjalanan ke esokan harinya. Entah bagaimana, salah seorang dari rakan Tok Pertapa sudah menghubungi pihak polis dengan memberitahu keadaan kami yang kononnya telah sesat. Ini semua kami ketahui setelah Pak Pertapa mendapat panggilan dari Balai Polis dan mengatakan akan menghantar kumpulan Ranger Gunung Ophir untuk menjejaki kami. Kami memberitahu kedudukan dan keadaan kami yang kehabisan bekalan air. Maka bermula la episode kumpulan Ranger yang mencari kami.

bersambung...

Sunday, January 13, 2008

3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 3


Hari Kedua. Kami meneruskan perjalanan seawal jam 7.30 pagi dan hanya bersarapan roti kosong dan dan air kosong. Ini adalah niat kami hanya untuk beramal jadi kami tidak membawa peralatan memasak dan makanan pun hanya ada roti kosong sebagai bekalan, cukup untuk melapik perut. Asal nya kami berniat mahu berpuasa di puncak sana, tapi kerana masih dalam perjalanan, kami terpaksa membatalkan niat untuk berpuasa kerana kami memerlukan tenaga untuk mendaki yang tidak tahu jarak dan kesudahannya.


Setelah hampir satu jam mendaki dengan melalui rintangan duri duri rotan yang halus, pokok pokok renek yang sendat, dan perjalanan pula tidak diketahui entah kemana maka, Tok Ayah dan Pak Tam meminta izin untuk tidak meneruskan perjalanann kerana takut melambatkan perjalanan kami. Alasan juga adalah kerana keadaan umur dan fizikal mereka, mereka tidak yakin dapat meneruskan perjalanan apatah lagi dengan bekalan air yang hampir habis. Setelah berbincang serba sedikit kami pun bercadang untuk berpecah, Tok Ayah dan Pak Tam akan turun kembali ke bawah, Tok dan Tok Pertapa akan meneruskan perjalanan. Ini adalah kerana kami sudah berjanji dengan seseorang untuk berjumpa di Puncak Gunung Ophir.


Dengan itu kami pun mengagihkan bekalan yang ada, termasuk air, khemah, makanan, air, lighter dan apa juga yang boleh di bahagi kepada 2 (dua) kumpulan. Kerana melihatkan keadaan fizikal dan umur Tok Ayah dan Pak Tam, kami tidak yakin mereka dapat turun dan sampai pada hari yang sama, dan berkemungkinan mereka akan bermalam juga di dalam hutan. Apa apa pun kami telah berjanji, walau siapa sampai dahulu, kami harus berkomunikasi menggunakan sms untuk mempastikan mana mana kumpulan selamat.


Perjalanan ke atas pastinya bertambah perit, dengan air yang sedikit (kami guna untuk basah tekak sahaja), dengan keadaan jalan yang berduri dan sempit, adakala terpaksa memanjat bongkah batu besar licin yang kecerunan 70 % dengan pendakian sejauh 50 meter kadangkala lebih dan hanya menggunakan akar akar pokok untuk mendaki, ada kala terpaksa menyusur tepi batu kerana keadaan batu dengan kecerunan 90% yang pastinya tidak boleh di daki. Sekali sekala kami terpaksa berehat untuk menghilangkan panik akibat kekurangan air dan kehilangan jejak atau trek yang boleh di lalui. Yang pastinya ada sahabat ghaib yang sentiasa memberitahu tok petunjuk jalan dan tok yakin kami pasti sampai. Apa apa pun tok sentiasa tahu bahawa kami sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T, kerana Dia pastinya Maha Pelindung.


bersambung...

3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 2


Hari Pertama. Tok dan rakan rakan bertolak seawal selepas subuh dari Kuala Lumpur dan sampai ke kaki gunung lewat jam 10.30 pagi (lebih kurang). Setelah berjumpa dan berkata kata dengan Guide (Ranger) yang bertugas di kaki gunung, kami tidak dibenarkan naik ke puncak gunung, kerana semua 5 (lima) pintu masuk ke gunung telah di tutup kepada pelawat semenjak bulan May 2007 lagi. Ini adalah di sebabkan kemalangan yang mengakibatkan kematian yang telah berlaku diwaktu itu. Oleh kerana kami telah sampai, jadi tok dan rakan rakan tidak berhasrat untuk berpatah balik dan memberitahu Guide (Ranger) bahawa kami hanya bermalam di Air Terjun di kaki Gunung selama 3 hari 2 malam. Setelah mendapat persetujuan Guide (Ranjer), tok dan rakan rakan pun meneruskan perjalanan.


Apa yang sebenarnya berlaku, tok dan rakan rakan tidak berhasrat berkhemah di kaki gunung, jadi kami merancang meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Ophir tanpa mengikut trek sedia ada kerana takut terserempak dengan Guide (Ranger) dan akan dihalau pulang. Oleh kerana kami tidak mengikut trek asal, perjalanan menjadi terlalu sukar, di mana kadangkala kami terpaksa mengikut trek laluan air hujan, ada juga kawasan yang tebal dan padat dengan pokok pokok renek dan juga rotan rotan kecil yang berduri tajam, ada juga yang tepaksa memanjat kawasan berbatu licin dengan kecuraman 70% dan berbagai lagi. Bahkan kami tiada membawa parang atau peralatan lain juga bekalan air yang sedikit kerana mengikut perancangan asal kami tidak perlu menempuh semua ini. Perjalanan ini terlalu menduga fizikal dan mental.


Kami berani dan cekal meneruskan perjalanan ini adalah mengikut persetujuan bersama bahawa, kami akan mengikut laluan air sungai yang bukan trek, maknanya bekalan air sentiasa ada. Tetapi apa yang terjadi adalah lain daripada yang di rancang, ini adalah kerana kesukaran untuk mengikut laluan yang dirancang kerana tebing tebing yang terlalu curam dan tinggi. Jadi kami hanya bertawakal sahaja dengan harapan dapat sampai ke puncak dengan segera. Oleh kerana perjalanan menjadi semakin perlahan dan hari semakin gelap, jadi hari pertama kami hanya bermalam di pertengahan bukit yang tidak di kenali.


Malamnya kami tidur didalam khemah dengan berkongsi satu khemah untuk 2 (dua) orang. Tidur kami tidak di ganggu tetapi ada juga orang kerdil bergigi tajam yang setinggi 1 (satu) kaki yang rajin menjengah khemah, ada sekali sekala tok tersepak mereka ketika meluruskan kaki, kerana keadaan mereka yang terlalu rapat khemah. Mereka mereka ini juga pantas berlari jikalau di jengah atau disergah. Apa yang pasti, ini bukanlah pengalaman yang mencemaskan kerana kami berempat sudah biasa dengan pengalaman begini. Untuk tidur tidak di ganggu, kami menutup khemah rapat rapat kerana kami perlu berehat dan masih lagi tidak tahu berapa jauh perjalanan keesokan harinya.


bersambung...


3 HARI PERJALANAN KE GUNUNG OPHIR - PART 1

Gunung Ophir yang di kenali sesetengah rakyat tempatan adalah sebuah gunung yang berkeramat, penuh dengan cerita cerita dongeng, cerita puteri puteri, orang orang kayangan, jin jin dan juga bunian. Tidak termasuk lagi cerita yang konon dan sebenarnya puncak Gunung Ophir ini adalah sebenar berada di tengah tengah Kota Atlantis (tok tak niat untuk bercerita pasal Kota Atlantis yang dikatakan hilang ini, dilain kali mungkin tok akan cerita).


Sila lihat wikipedia ( http://en.wikipedia.org/wiki/Ophir ) tentang Gunung Ophir. Gunung Ophir ada di sebut di dalam Kitab Injil yang menyatakan tentang kekayaan dan kesucian tempatnya. Ia juga dinyatakan sebagai tempat persinggahan Nabi Allah Sulaiman A.S untuk mengambil beberapa barang yang berharga. Sehingga sekarang kebanyakkan orang masih lagi berbalah tentang lokasi sebenar Gunung Ophir. Ada yang mengatakan ianya berada di Afrika Selatan dan ada juga menyatakan ianya berada di New Zealand. Apa yang tok pasti ianya berada di Malaysia ini. Oleh sebab inilah sempena cuti dan keberkatan tahun Hijrah, Awal Muharram 1429, tok mengambil kesempatan untuk naik kepuncaknya.


Keputusan untuk memanjat Gunung Ophir ini adalah dibuat dengan tergesa gesa, ini adalah kerana kesibukan tok bekerja dan mempunyai masa yang kurang di ketika tok sibuk untuk memulakan perniagaan baru yang memerlukan untuk membuka sebuah pejabat yang baru. Oleh kerana ada gesaan dan kehendak maka tok pun berangkatlah mengikut 3 rakan rakan tok yang lain, Tok Ayah, Pak Tam dan Pak Pertapa. Tujuan asal ke Gunung Ophir adalah:

  1. Menyambut Awal Muharram 1429 dan beramal di puncak gunung.
  2. Berjumpa dengan orang ghaib secara berdepan (suri) di 2 (dua) gua di puncak gunung. (Orang ghaib telah dihubungi sebelum bertolak)
  3. Dan mengambil sedikit barang yang ada di sana. (Orang ghaib telah diberitahu hasrat ini sebelum bertolak)


Mengikut perancangan, kami akan berada di Gunung Ophir selama 3 hari 2 malam dan perjalanan turun dan naik Gunung di pendekkan dengan menaiki kenderaan terus ke Menara Telekomunikasi yang berada tidak sampai 1 km dari puncak Gunung Ophir. Tapi tak tahu bagaimana, pada hari sebelum bertolak, perancangan telah di tukar dan kami perlu mendaki dari bawah dan mengikuti jalan yang bukan di lalui ramai oleh kerana sebab sebab tertentu. Tapi jika melalui perjalanan ini, kami akan lebih cepat sampai dari mengikuti jalan yang lain.


Tok tidak berhasrat menceritakan pejalanan ghaib (mistik) dan permandangan ghaib, takut akan menimbulkan fitnah kepada yang tidak memahami, cuma tok akan selit kan sedikit sedikit sahaja sebagai asam garam cerita pengalaman ini.


bersambung...


Saturday, January 12, 2008

Tahun Hijrah 1429


Tok bermalam di kaki ledang di malam Hijrah 1429. Kalau ada masa atau kerajinan nanti tok ceritakan bagaimana tok boleh sesat dalam perjalanan ke G.Ledang yang mengambil masa 3 hari baru sampai ke puncak.


Tuesday, January 1, 2008

Tahun Masihi 2008


Seperti biasa bila masuk ke tahun masihi yang baru, kebanyakkan orang manusia tok lihat menyambutkan perayaan dengan membakar bunga api, ada yang buat BBQ, merempit dan berbagai lagi. Tak tinggal juga ada yang menanam azam baru walaupun pokok azam lama tak tumbuh tumbuh lagi. Pendek kata, macam macam perayaan yang di buat untuk menyambut kedatangan tahun masihi 2008 ini.

Sebenarnya tok masih lagi tak paham apa perlunya kita menyambut tahun baru Masihi? Yang pastinya satu dunia cuti... Kenapa ya?