Monday, February 11, 2008

Segala Yang Kamu Miliki Adalah Ilusi

Telah menjadi satu fakta sains dan mantik bahawa "dunia luar" tidak mempunyai realiti material dan ia hanyalah satu himpunan imej-imej yang Allah perlihatkan kepada roh kita. Namun begitu, manusia tidak termasuk atau tidak mahu termasuk di dalam konsep "dunia luar".

Sekiranya kamu memikirkan isu ini dengan jujur dan berani, kamu akan menyedari bahawa rumah kamu, semua perabot yang berada di dalamnya, kereta kamu - yang mungkin baru dibeli, pejabat kamu, barang kemas, akaun bank, almari pakaian, teman hidup, anak-anak, rakan-rakan, dan segala yang kamu miliki sebenarnya termasuk di dalam khayalan dunia luar ini yang ditayangkan kepada kamu. Apa yang kamu lihat, dengar, dan bau yang kamu terima dengan pancaindera yang lima di sekeliling adalah sebahagian darpada "dunia khayalan" ini, begitu juga dengan suara penyanyi pujaan kamu, kekerasan kerusi yang kamu duduki sekarang, minyak wangi yang kamu gemari, matahari yang memanaskan kamu, sekuntum bunga dengan warna yang menarik, seekor burung yang terbang di hadapan tingkap kamu, sebuah bot laju yang bergerak lincah di atas air, taman kamu yang subur, komputer yang kamu gunakan di tempat kerja, atau hi-fi yang mempunyai teknologi tercanggih di dunia……

Ini adalah kebenaran, kerana dunia hanyalah sebuah himpunan imej-imej yang dijadikan untuk menguji manusia. Manusia diuji melalui kehidupannya yang terhad dengan persepsi-persepsi yang tidak benar. Persepsi-persepsi ini telah dijadikan menarik dan menawan. Kenyataan ini telah disebutkan di dalam Al-Qur'an :

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baik (iaitu syurga). (surah Ali Imran:14)

Kebanyakan manusia menolak agama mereka ke tepi demi tarikan harta benda, kekayaan, longgokan emas dan perak wang ringgit, barang kemas, akaun bank, kad kredit, almari yang penuh dengan pakaian, model kereta terkini, ringkasnya, segala bentuk harta benda yang mereka miliki atau berusaha untuk memilikinya dan mereka hanya menumpukan kepada dunia ini dan mengabaikan Hari Kemudian. Mereka telah tertipu dengan "kecantikan dan keindahan" wajah kehidupan dunia ini, sehingga gagal untuk mendirikan sembahyang, menderma kepada orang-orang miskin, dan mengerjakan ibadat sehingga menyebabkan mereka mara di hari kemudian dan berkata (berdalih) "saya ada kerja lain yang perlu dibuat", "saya ada idea", "saya ada tanggungjawab" , "saya tidak mempunyai masa yang mencukupi" , "saya ada perkara yang perlu diselesaikan" , "saya akan melakukannya di kemudian hari". Mereka menggunakan seluruh hidup mereka untuk maju di dunia ini sahaja. Pemahaman yang salah ini telah dijelaskan di dalam ayat;

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat (surah ar-Ruum:7).

Fakta yang kami terangkan di dalam bab ini, terutamanya fakta bahawa segalanya adalah imej, adalah amat penting kerana implikasinya yang menjadikan semua keghairahan dan sempadan tidak bererti. Pengesahan terhadap hakikat ini menunjukkan dengan jelas bahawa segala manusia miliki atau berusaha untuk memilikinya, seperti kekayaan yang diperolehi dengan ketamakan, anak-anak mereka yang mereka merasa megah dengannya, pasangan hidup mereka yang mereka anggap sebagai yang paling rapat dengan mereka, rakan-rakan mereka, tubuh-tubuh mereka yang disayangi, kedudukan mereka yang meletakkan mereka di tempat yang tinggi sekolah-sekolah yang mereka masuki, percutian-percutian yang telah mereka lalui, semuanya tidak lebih daripada ilusi. Oleh iu, segala usaha yang dilakukan, waktu yang telah dihabiskan, dan perasaan tamak terbukti sebagai tidak berguna.

Kerana itu sebahagian manusia memperbodohkan diri mereka sendiri apabila mereka bermegah dengan kekayaan dan harta mereka atau dengan "kapal layar, helikopter, kilang-kilang, saham-saham, rumah-rumah mewah dan tanah" seolah-olah mereka benar-benar wujud. Mereka yang terdiri daripada golongan benda yang berjalan mundar-mandir di atas kapal layar mereka dengan megah, menayang-nayangkan kereta mereka, asyik memperkatakan tentang kekayaan mereka, menyangka bahawa kedudukannya adalah lebih tinggi daripada orang lain dan asyik merasakan bahawa mereka telah berjaya kerana semua ini, patut memikirkan di manakah kedudukan mereka apabila mereka menyedari bahawa kejayaan mereka tidak lebih daripada sebuah ilusi sahaja.

Sebenarnya, pemandangan-pemandangan ini telah dilihat beberapa kali di dalam mimpi. Di dalam mimpi mereka, mereka juga mempunyai rumah, kereta laju, barang kemas yang melimpah ruah, wang yang bergulung-gulung, dan emas dan perak yang menggunung. Di dalam mimpi-mimpi mereka, mereka juga berada di satu kedudukan yang tinggi, memiliki kilang-kilang dengan beribu-ribu pekerja, mempunyai kuasa untuk memerintah ramai orang, memakai pakaian yang menyebabkan orang lain tertarik dengannya …..Sebagaimana seseorang itu dianggap mengarut kerana bermegah dengan kedudukannya di dalam mimpinya, begitu juga mereka yang merasa gah dengan imej-imej yang mereka lihat di dunia ini. Lagi pun, apa yang dilihatnya di dalam mimpinya dan apa yang dialaminya di dalam dunia ini hanyalah imej-imej di dalam mindanya.

Begitu juga bagaimana manusia bertindak balas dengan peristiwa-peristiwa yang mereka alami di dunia ini hanya akan menyebabkan mereka merasa malu apabila mengetahui hakikat sebenar. Mereka yang sering bergaduh sesama sendiri mereka yang bercakap sombong, mereka yang sering menipu, mereka yang menerima rasuah, mereka yang melakukan kesalahan kepada manusia, mereka yang memukul dan memaki hamun orang lain, serangan yang mendera, mereka yang terlalu ghairah dengan jawatan dan kedudukan, mereka yang sering iri hati, mereka yang suka menunjuk-nunjuk, mereka yang memuliakan diri sendiri dan yang sebagainya akan menyesal apabila mereka menyedari bahawa mereka telah melakukan ini semua di dalam mimpi.

Disebabkan Allah yang menjadikan semua imej-imej ini, maka Allah jugalah Pemilik Tunggal semuanya ini. Kenyataan ini ditegaskan di dalam Al-Qur'an:

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuan-Nya dan kekuasaan-Nya) akan tiap-tiap sesuatu.(surah An-Nisaa:126)

Adalah suatu kebodohan yang jelas untuk mengetepikan agama demi mengejar keghairahan khayalan sehinggah menyebabkan kehilangan kehidupan yang lebih berkat di syurga.

Pada peringkat ini, satu fakta perlu ditegaskan: bukanlah yang dimaksudkan di sini bahawa kenyataan yang kamu hadapi menunjukkan bahawa "segala pemilikan, harta, anak-anak, pasangan hidup, rakan-rakan, kedudukan yang lambat laun akan hilang, semuanya ini tidak beerti". Tetapi apa yang dimaksudkan di sini ialah "segala harta yang kamu lihat sebenarnya tidak wujud sama sekali, tetapi ia hanyalah sekadar sebuah mimpi dan himpunan imej-imej yang ditunjukkan kepada kamu oleh Allah untuk menguji kamu". Seperti yang dapat kamu saksikan terdapat perbezaan yang besar di antara kedua-dua kenyataan ini.

Walaupun seseorang tidak mahu mengambil kisah dengan fakta ini dan menipu dirinya dengan menganggap semua yang dimilikinya benar-benar wujud, tetapi dia akhirnya akan mati dan di hari kemudian dia akan menyedari dengan sejelas-jelasnya bahawa dia sebenarnya telah dijadikan. Pada hari tersebut, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".(surah Qaff:22), dan dia akan dapat melihat segala-galanya dengan lebih jelas.Tetapi sekiranya dia menghabiskan seluruh hidupnya mengejar matlamat-matlamat khayalan, maka dia akan berharap untuk tidak meninggalkan kehidupannya dan berkata:

"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi);" Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; Kuat kuasaku (dan hujah-hujahku membelah diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku". (surah Al-Haaqqah:27-29)

Apa yang perlu dilakukan oleh orang yang bijak ialah cuba memahami hakikat alam semesta di dunia ini, sementara masih berpeluang. Jika tidak, dia hanya menghabiskan seluruh hidupnya dengan mengejar mimpi-mimpi dan akhirnya berhadapan dengan penamat yang mengecewakan. Di dalam Al-Qur'an keadaan orang-orang yang mengejar ilusi-ilusi (atau fatamorgana) di dunia ini dan melupakan Pencipta mereka, telah dijelaskan seperti berikut:

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju k arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak dapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. (surah An-Nuur:39)

sumber: http://harunyahya.com

No comments:

Post a Comment